Ketika menyunting isu ke-8 ini, FARASU baharu sahaja selesai menjayakan Indonesia Death Fest 2018 di Bulungan Outdoor, dan kini sedang bersiap-siap untuk membuat persembahan di Alor Setar, Kedah yang termasuk dalam senarai siri jelajah “Majestic” untuk mempromosikan album baharu mereka “Sulalatus Salatin”. Saya berbesar hati kerana Nahaq, pemacu jentera FARASU sudi meluangkan sedikit masa untuk menjawab wawancara ini:
Assalamualaikum saudara Nahax. Apa khabar? Tahniah atas kelahiran album terbaru “ Sulalatus Sulatin” yang sedang giat dipromosi. Bagaimana sambutannya setakat ini? Wa'alaikumussalam. Sihat-sihat sahaja. Terima kasih atas ucapan tahniah saudara. Sambutan setakat ni memang agak baik dan agak menggalakkan dan mengejutkan. Alhamdulillah lancar.
Mendengarkan kepada elemen rock keras yang kuat, begitu juga beberapa sentuhan progresif pada album anda. Apakah sebenarnya tarif ‘nusantara metal’ kepada anda? Apa formulanya? Bagi saya "nusantara" besar takrifannya tetapi bagi kami nusantara itu menjurus kepada sosial, ekonomi, sejarah dan politik benua gugusan nusantara yang terdiri dari pelbagai etnik dan budaya. Jadi muzik kami 'nusantara metal' ini berkaitan tentang "penyulaman dan penjahitan" unsur-unsur nusantara ini dari segi muzikal dan lirik dalam lagu-lagu FARASU. Elemen rock keras dan progresif memang sudah sebati dalam jiwa kami dan ia keluar secara spontan dalam lagu-lagu yang kami cipta dan susun.
Muzik FARASU sebenarnya bukanlah asing bagi saya kerana sejak dari zaman Nilai Loudblast lagi, saya berkesempatan mendengar persembahan FARASU, dan kini zaman Youtube saya ada menonton banyak juga video dari siri gig dan konsert yang anda sertai. Saya berpendapat walaupun pada zaman pertengahan FARASU boleh dikatakan antara band yang terjebak dalam nusantara death metal yang mula disepuh oleh SIL KHANNAZ era Shidi, CRYPTIC MALEDICTION era Insanity to Beserk, TASYIM, namun kini FARASU boleh dikira sebagai pembawa obornya kerana kumpulan-kumpulan tadi telah pun berubah arah dan ada yang telah berkubur. Bagaimana anda dapat bertahan dengan prinsip ini? Tidak dinafikan genre ini memang ada band-band pengasasnya seperti yang kita semua tahu. Masing-masing ada elemen nusantara tersendiri yang mereka sampaikan dan tidak dinafikan FARASU terkena tempiasnya dalam perjalanan mencari "originaliti" itu. Bezanya kami tidak pernah berhenti dari bermain band dan dalam tempoh itu perjalanan muzik FARASU telah ber"evolusi" secara sedar atau tidak sedar. Mungkin faktor penambahan pengalaman dalam berkarya membuatkan kami lebih matang dalam "song arrangement", lirik dan sebagainya. Kami bertahan atas dasar percaya muzik itu perlu berevolusi dan jangan pernah berhenti "menyulam" dan berhentilah "menampal".
Bagaimana tercetus idea ‘album konsep’ ini? Maksud saya, album yang memuatkan penyelarasan tema sepenuhnya: muzik metal ketimuran, lirik, kerja grafik dan imej. "Sebenarnya kalau sesiapa yang follow rilisan FARASU, setiap album FARASU memang berbeza dari segi sound, teknikal, song composition, lirik dan macam-macam lagi. Setiap album berbeza dan itulah tujuan kami. Tidak mahu ulang apa yang dah buat. Tapi intisarinya tetap sama yakni nusantara dan ketimuran. Untuk album "Sulalatus Salatin" ini idea asalnya adalah sambungan evolusi muzik FARASU itu sendiri. Nusantara adalah subjek untuk kami berkarya dan ianya amat luas. Masyarakat kita selalu cuba mengikut apa yang ada diluar tanpa disedari kita sendiri ada subjek yang lebih segar. Tema untuk album ini lebih ke arah sejarah dan cerita rakyat tapi kami cuba elakkan hal-hal mitos. Lebih ke arah sejarah dari hikayat. Lagu Muqaddimah trek pertama adalah lagu klasikal Melayu yang lebih ke arah penceritaan tentang asal usul sejarah nusantara. Lirik majoritinya hasil saudara Mus Fidaiyyin. Kerja grafik dan imej di selaraskan oleh vokalis kami saudara Shah".
Sulalatus Sulatin” adalah album penuh ke 3 daripada FARASU. Apa yang boleh anda kongsikan kepada kami dari sesi rakaman hingga ke prestasi komposisi lagu berbanding sebelumnya? Adakah anda berpuas hati dengan kerja-kerja rakaman dan adunan di Retrax ? "Dari segi rakaman, prosesnya bermula hujung September 2017. Tapi untuk projek album ini komposisi lagu semua bermula dari 2016 lagi. Lagu-lagu dalam album ini majoritinya, semulajadinya terhasil hasil dari penjarahan kami selama hampir 3 tahun bermain hampir 50 shows di Malaysia, Indonesia, Taiwan dan China. Perjalanan-perjalanan ini memberi kami satu "ilham" dan satu pencerahan bahawa kita kena kembali kepada jati diri dan selalunya bila orang tanya; Malaysia ini ada apa ya? Membuatkan kita terpikir orang nak tengok apa keunikan yang kita bawa. Kesimpulannya komposisi-komposisi lagu-lagu dalam album ini adalah hasil dari "soul" yakni jiwa peribadi kami sendiri. Secara peribadinya saya amat berpuas hati dengan kerja-kerja di Retrax Studio selaku Azim sebagai recording engineer dan tukang mixing. Mastering pula oleh Atok Akeem Otai Art Studio dan hasilnya amat memuaskan. Album ini mengambil masa hampir 7 bulan utk disiapkan. Ini termasuklah proses rakaman, mixing, mastering dan penghasilan ouput pro rilis digipak CD".
Bagaimana pula anda boleh berkerjasama dengan Dewangga Sakti? Saya dengar anda turut memasukkan bunyi keyboard ke dalam muzik FARASU. Adakah ini unsur baru dan akan dikekalkan untuk masa depan? "Kerjasama dengan Dewangga Sakti sebenarnya idea ini memang sudah lama ada dan secara kebetulan saya mengenali saudara Zoy dari Dewangga Sakti yang dulunya juga dari band Cryptic Melediction. Saya approach Zoy dengan memberi idea tentang fusion antara melodic death metal dan muzik tradisional nusantara dan Zoy memang teruja dengan cadangan saya itu. Kemudian saya bagi beberapa trek lagu-lagu dan dari situ kami mula kembangkan idea-idea susunan untuk lagu-lagu itu. Secara mutlaknya lagu yang dipilih adalah “Lagenda Lancang Berdarah” dan “Muqaddimah Sulalatus Salatin”. Selain itu Dewangga Sakti juga menyumbang 1 lagu instrumental penuh berjudul “Eastern Symphonic”. Insyaa Allah unsur-unsur ini hendak dikekalkan dan akan dianjakkan lagi evolusinya".
Bagi anda lagu mana didalam album ini yang mempunyai arah, riff dan struktur paling jahat? Mana pula yang paling santai dan mesra pendengar muzik arus perdana? Dalam album ini riff-riff dan struktur bagi saya yang agak deep adalah “Enthroned, The Jinn” dan “Lagenda Lancang Berdarah”. Santai dan mesra mungkin agak subjektif tapi lagu “Rentaka's Blast” bagi saya agak mesra selain “Eternal Eingriff” serta “Muqaddimah Sulalatus Salatin”.
Anda dilihat agak terbuka dalam memberi kritikan sosial dan juga pandangan politik. Apa pandangan anda mengenai Malaysia baru? Adakah FARASU juga boleh dikategorikan sebagai band politikal memandangkan saya dapat tahu pemain dram anda juga seorang yang aktif berpolitik? "Secara awalnya FARASU memang agak politikal sejak dari zaman demo. Tapi sebenarnya lebih ke arah kritikan politik dan sosial masyarakat Malaysia dan memang benar ada lagu-lagu tertentu sememangnya menjurus kritikan yang sinikal dalam isu politik dan sosial kalau dihayati lirik-liriknya. Hahaha. Tapi untuk dikategorikan band politikal agak tidak tepat kerana politik itu hanya adalah antara subjek untuk FARASU berkarya. Tetapi kebetulan pemain dram FARASU memang bekerja dalam organisasi parti politik di Malaysia, PKR. Bagi saya Malaysia baru ini adalah satu anjakan dalam sosio masyarakat Malaysia dan ia bagus untuk kemajuan Malaysia".
FARASU ialah diantara kumpulan tempatan yang sering menyertai festival dan konsert diluar negara. Boleh kongsikan pengalaman anda yang sukar dilupakan ketika bermain di negara luar? Mana yang terbaik dan apa yang boleh dipelajari dari mereka? "Owh!..terlalu banyak pengalaman manis dan pahit yang kami dapat dan tempuh. Jenuh juga lah kalau nak diceritakan semuanya. Tapi yang paling tidak boleh lupa bagi saya semasa tour 4 kota: Bandung, Bekasi, Sukabumi dan Tangerang, di Jawa Barat masa Oktober 2017 dimana masa dalam perjalanan dari Sukabumi ke Tangerang kereta yang kami naik terbakar secara tiba-tiba dalam pukul 12 tengah malam. Nasib baiklah penduduk disitu tolong kami dengan mencari kereta lain dan kami berjaya sampai ke venue terakhir jelajah di Tangerang untuk beraksi. Yang terbaik kalau band-band keluar jelajah ini kita akan dapat belajar menguruskan perjalanan band kita dengan lebih teratur dan mendapat pengalaman-pengalaman yang bagus untuk dijadikan pelajaran. Banyak yang boleh dipelajari tentang pengurusan masa, persembahan pentas, soundcheck, komunikasi, penerimaan penonton dan macam-macam lagi".
Apakah yang menghalang kumpulan-kumpulan muzik lasak dari Malaysia untuk berkembang? Pentingkah festival-festival besar seperti Hammersonic, Loudpark, dan sebagainya dalam melahirkan band-band yang berkualiti? Apa yang menghalang? "Tak tahulah. Bagi saya segala-galanya satu ayat sahaja saya pakai... kena ada disiplin, pengorbanan, sikap mahu maju dan pengurusan yang cekap. Itu sahaja lah. Bagi saya festival-festival ini penting untuk bagi inspirasi pada band yang mahu kejar dan perform di fest-fest sebegitu tapi bagi saya kepuasan adalah segalanya".
Kenapa memilih untuk merakamkan lagu saduran “Meniti Titian Usang” dari M. Nasir?. Maaf saya hanya anggap Search sebagai cover band yang bagus selama ini. "Owh... lagu tu sebenarnya atas permintaan gitaris solo FARASU abam Ordil a.k.a Mat Jai dan kami semua suka feel yang agak 'dark' dalam lagu itu dan sememangnya kami dok perform lagu itu dari 2015 lagi. Kami cover ikut sound kami, cara kami. Cuma melodi asal sahaja tidak diubah 100%. Juga kami nak buktikan tidak semua metalheads ini nak laju sahaja 24 jam. Hahahaha..."
Boleh kami tahu adakah produk-produk FARASU sebelum ini masih boleh dibeli? "Setakat ini produk-produk FARASU terdahulu yang masih ada: CD album “Menongkah Arus” yang dah tak banyak lagi tinggal dan CD album “Against Tyranny”. Untuk CD mini album “Blackmoon Eclipse” dan cd demo “Millennium Ov Madness” dekat kami memang dah kehabisan stok lama dah".
Sesi pembikinan video rasmi “Against Tyranny”
Selain terbabit dalam FARASU, anda juga menguruskan perniagaan cetakan fabrik. Bagaimana perniagaan sejak GST dimansuhkan? Apa hobi anda selain muzik? "Perniagaan Alhamdulillah lancar seperti biasa. With or without GST Magenta Screen Printing tetap bertahan Insyaa Allah. Hobi saya sebenarnya suka keluar melancong jalan-jalan dan memang kebetulan bila main band kerap dapat peluang itu, jadi sambil menyelam sambil minum air ja la...hahaha!".
Apa perancangan terbaru FARASU? "Perancangan terbaru dan sedang berlaku pun as usual kalau band ada rilis baru kena turun padang keluar tour. Juga senang nak Jual merchandise dengan menjarah ke seluruh pelusuk tempat yg bole di kunjungi. Tapi perancangan paling utama adalah untuk keluar pergi tour di Jepun dan sedang diusahakan".
Setakat ini dahulu perbualan kita, Nahax. Semoga terus berjaya. "Terima kasih saudara Rammy atas interview ini. Saya amat-amat menghargainya. Keep Metal Alive...!!!
Dipetik dari Rakap Besi isu # 8 (Oktober 2018)
Temubual oleh:
No comments:
Post a Comment